2019-10 Teater Di Sawah Padi Muzika Uda & Dara

Muzika Uda dan Dara mengisahkan konflik penindasan sosial masyarakat pesawah miskin yang ditekan oleh kezaliman lintah darat bernama Alang Bakhil (bapa saudara Dara) sehingga tergadai tanah dan harta mereka. Kemiskinan juga menyebabkan cinta Uda dan Dara menjadi rumit kerana dihalang oleh keluarga Dara.

Uda dan Dara adalah sepasang kekasih dua sejoli yang disayangi penduduk kampung.

Demi mengubah nasib hidupnya, Uda membawa diri ke kota bagi memburu kekayaan. Setelah berjaya, Uda kembali ke kampung untuk menunaikan janjinya untuk memiliki Dara dan menebus harta yang telah tergadai.

Lagu-lagu yang didendangkan serta koreografi yang menarik telah berjaya dipaparkan oleh produksi Uda & Dara.

Hal ini mengakibatkan Uda dibunuh di dalam suatu pakatan yang diketuai oleh Alang Bakhil sehingga menyebabkan Utih bangun dan membakar perjuangan orang kampung untuk melawan demi menegakkan keadilan dan membela nasib mereka yang tertindas.

Alang Bakhil lakonan Roydy Rokidy begitu berkesan. Namun audio yang tenggelam-timbul akibat hujan menyebabkan pementasan sedikit terganggu.
Babak Uda dibunuh oleh pengikut-pengikut Alang Bakhil.

Walaupun saya dan penonton lain terpaksa menonton dalam kebasahan hujan (tak pernah lagi menonton teater dalam hujan macam itu), dan kegusaran dengan kilat petir di langit, muzika Uda & Dara di malam pertama tidak menghampakan.

Antara babak yang menarik perhatian ialah ketika Uda mati dibunuh pengikut Alang Bakhil. Suasana sayu diiringi tangisan Dara dan orang kampung. Tambah lagi dengan alunan syair Roslan Madun yang mendayu-dayu. Memang kena sangat-sangat babak tu. Tapi suara bos tu, saya tahu dia keletihan. Cuma keletihan dia tu seolah-olah kena dengan babak yang menyayat hati ni.

Penduduk kampung meratapi kematian Uda. Dara pula begitu hiba menahan kesedihan kehilangan kekasihnya.

Babak kedua pula ialah ketika nyanyian lagu ala rock yang menutup tirai persembahan. Penyanyinya bernama Qori Islami Aris dan saya dimaklumkan bahawa dia didatangkan khas dari Pekanbaru, Indonesia untuk segmen tersebut. Pensyarah Universitas Lancang Kuning ini mempunyai suara yang amat padu dan bertenaga.

Qori Islami Aris menyampaikan lagu penutup yang begitu mantap dan bertenaga.

Kedua-dua babak mendapat tepukan gemuruh penonton. Tahniah buat Pak Shamsudin Osman, barisan pelakon dan seluruh tenaga produksi.

Lagi gambar di bawah. Hakcipta terpelihara @ fotolawa.com

2019-10-25 Teater Di Sawah Padi Muzika Uda & Dara

Semua foto adalah dibenarkan untuk dimuat turun dan dimuat naik semula ke media sosial dengan memberikan kredit kepada fotolawa.com atau jurugambar Noor Kasmara Sokarnor.

Sebarang kegunaan untuk penerbitan di media cetak, buku, majalah atau akhbar adalah tidak dibenarkan tanpa keizinan fotolawa.com.

Sila hubungi 013-976 0187 untuk perbincangan lanjut bagi mendapatkan gambar resolusi tinggi dan tanpa tera air.