2016-5 Roslan Madun, sampai bila?

(Artikel ini telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera edisi Ogos 2017 dengan tajuk “Raja Syair Roslan Madun, sampai bila?” dengan beberapa penambahan. Ini adalah artikel asal.)

Entah untuk ke berapa kali, Roslan Madun pergi ke negara orang untuk mengembara. Dia sentiasa mencari sela kosong dalam jadual persembahannya; biar sehari dia sanggup, asal apa yang dirancangnya menjadi. Soal ongkos, dia sentiasa ada. Bagaimana diadakan? Saya tahu semua itu melalui upah persembahannya. Sekali-sekala dia akan mendapat bantuan dari individu tertentu, terutama sahabat artis ND Lala yang banyak memahami perjuangan Roslan Madun.

Roslan Madun, Raja Syair Nusantara.

Kali ini dia mengembara ke Tanjungpinang, dengan pengharapan menjejakkan kaki ke Tanah Bonda Melayu yakni Daik Lingga di Kepulauan Riau (atau Kepri). Kepergiannya kali ini bukan kosong. Beberapa siri pertemuan sudah dirancang awal. Tapi saya sedia maklum, pertemuannya yang satu akan bercambah menjadi dua, tiga, dan lebih dari perancangan asal. Dalam pertemuan yang santai bersama Pak Zulkifli Harto, dia mengorek maklumat tentang penyair-penyair Melayu yang ada di provinsi tersebut. Jadual asal dirombak. Dari situlah kami mula bergerak mengatur perjalanan kami.

Bersama Zulkifli Harto (dua dari kanan) dan Musliha Wardana (dua dari kiri).

Hari pertama di Tanjungpinang membuahkan hasil apabila kami bertemu seorang gadis muda dari Universitas Maritim Raja Ali Haji | UMRAH yang juga seorang penyair yang baru pulang dari menghadiri sebuah pertandingan pantun di Melaka. Musliha Wardana mendendangkan beberapa kerat Gurindam Dua Belas dengan pelbagai irama syair yang diketahuinya. Menakjubkan apabila dia berdendang tanpa sebarang teks rujukan! Kami juga merakamkan syair karangan Roslan Madun sendiri iaitu ‘Bahasa Melayu’ (klik untuk tonton) yang telah dimuatkan dalam buku Cakar Nanar. Musliha Wardana melagukannya dalam irama syair Kepulauan Riau.

Rakaman dendangan syair oleh Musliha Wardana di kafe hotel.

Selesai rakaman, kami bergegas ke pelabuhan untuk menempuh ombak laut perairan Kepri menuju ke Daik Lingga. Kami diiringi Kamarul Zaman, yang menyelaras kerja-kerja menjejak pendendang syair di Daik. Malam itu kami dipertemukan dengan wakil Balai Bahasa dan Pariwisata Daik yang banyak berkongsi maklumat tentang sejarah Daik Lingga.

Bersama wakil Balai Bahasa dan Pariwisata Daik dan beberapa orang tempatan.

Esoknya pula kami berjaya merakam empat buah syair di Sanggar Megad Syah Alam bersama pendendang Puan Syarifah Faridah, Puan A. Mardiah Osman dan En. M. Tahir Bujang. Sempat juga Roslan Madun berduet Syair Madah Bunda Tanah Melayu (klik untuk tonton) bersama Pn. Syarifah Faridah.

Baris hadapan, dari kiri: Pn. A. Mardiah, Roslan Madun, Pn. Syarifah Faridah dan En. M. Tahir Bujang. Baris belakang: Pemuzik dari Sanggar Megad Syah Alam.

Kami kemudiannya menjelajah pulau dengan melawat beberapa tempat yang terkait rapat sejarahnya dengan Kepulauan Melayu. Antaranya adalah Kampung Pahang yang dipercayai ada perhubungan dengan orang Pahang di Semenanjung Malaysia.

Kami juga sempat mengabadikan foto berlatarbelakangkan Gunung Daik yang dikatakan bercabang tiga. Malangnya ketika ini puncak gunung dilitupi awan tebal seolah-olah tidak mengizinkan kami mengambil gambarnya.

Rombongan Malaysia bergambar kenangan berlatarbelakangkan Gunung Daik. Dari kiri: penulis, Azmy Ahamad, Pak Kamarul Zaman, Roslan Madun, Amir Atan dan Al-Zahari Awg Samah.

Oleh kerana ketibaan kami hampir lewat senja sehari sebelumnya, saya perhatikan pemandangan ketika itu begitu indah sekali. Lalu saya mencadangkan kepada Roslan Madun agar diadakan sesi outdoor photoshoot di tepi dermaga, berlatarbelakangkan langit biru ketika remang-remang senja. Pak Kamarul Zaman pula sudi meminjamkan busana tradisional pahlawan Daik untuk dipakai oleh Roslan Madun. Suasananya begitu mendamaikan. Ada juga yang kata kami photoshoot di dalam studio, tetapi sebenarnya ia memang latar semulajadi.

Roslan Madun dalam busana tradisional pahlawan Daik.

Di sebelah malamnya pula, kami dijemput ke rumah Kelompok Seni Bangsawan dan Budaya Melayu Sri Mahkota Lingga. Diskusi secara ilmiah berlangsung ketika ini berhubung teater bangsawan yang kini semakin kurang mendapat sambutan. Masalah demi masalah dibalas pelbagai cadangan, hingga akhirnya Roslan Madun memberi ‘amaran’, “Bersedia untuk dijemput ke Malaysia nanti!”

Roslan Madun bersama pemilik Anggun Performing Arts, Al-Zahari Awg Samah di beranda rumah teater bangsawan Sri Mahkota Lingga.

Setelah dua malam di Daik Lingga, kami pulang semula ke Tanjungpinang untuk babak-babak akhir pengembaraan. Ketika ini Amir Atan terpaksa berangkat pulang ke Melaka kerana ada persembahan yang perlu dijayakan. Hari kelima kami di Kepri, Roslan Madun dijemput untuk memberikan bengkel syair anjuran Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Balai Bahasa Provinsi Kepri yang diatur Pak Zulkifli Harto.

Pada awalnya Roslan Madun menyangka kami akan dijamu persembahan kebudayaan dan kesenian. Tetapi malam itu Roslan Madun baru diberitahu bahawa sebenarnya dialah yang akan mengendali bengkel tersebut. Semua ini dirancang pada pertemuan pertama bersama Pak Zulkifli di lobi hotel beberapa hari sebelumnya.

Roslan Madun telah menyampaikan nota pembentangannya menerusi slaid yang saya bantu murnikan. Ia juga diselang-selikan dengan dendangan irama syair seperti rakis, selendang delima, gurindam dan lain-lain. Persembahan ilmunya yang disertai dengan contoh yang konkrit begitu jelas dan mudah untuk difahami.

Roslan Madun menyampaikan ceramah diiringi beberapa contoh irama syair. Dendangannya berjaya memukau para peserta.

Ketika bengkel berlangsung, beberapa irama syair dendangan peserta universitas sekitar Tanjungpinang dapat dirakamkan seperti irama Syair Burung, Syair Kapal, dan Syair Perang, selain Selendang Delima.

Pendendang muda irama syair yang berjaya dicungkil bakat mereka hasil bengkel syair Roslan Madun.
Sesi foto bersama para peserta di akhir bengkel syair yang berlangsung di Bintan Expo Centre.

Petangnya, kami mencuri sela masa untuk ke Pulau Penyengat bagi menyaksikan bekas sejarah Kesultanan Melayu yang pernah jatuh di tangan Belanda beratus tahun dahulu. Kami melawat makam Raja Ali Haji, pengarang Gurindam Dua Belas yang banyak memberi kesan terhadap jatidiri Roslan Madun dan perjuangannya. Di sini juga Roslan Madun merakamkan dendangan syair Gurindam Dua Belas – di sisi makam Raja Ali Haji – dan dia hampir tewas dengan mainan perasaannya.

Di sisi makam Raja Ali Haji, pengarang Gurindam Dua Belas.
Kami turut melawat Balai Budaya Indera Perkasa Pulau Penyengat.

Ketika melawat Balai Indera Perkasa, berhadapan Pelabuhan Penyengat Indera Sakti (dulu pelabuhan ini dikatakan sangat masyhur), kami bertemu seorang penggesek biola yang mencari rezeki menggesek biola untuk para pelancong. Idea muncul di situ juga, lantas kami telah merakam Roslan Madun mendendangkan dua syair iaitu Gurindam 12 (klik untuk tonton) karangan Raja Ali Haji dan Syair Perahu karangan Hamzah Fansuri diiringi gesekan biola Saudara Jefrizal. Saya faham cara Roslan Madun bekerja. Idea datang tiba-tiba dan arahannya selalu di saat akhir, kerap sangat berlaku. Kerana itu saya sanggup menggalas 15 – 20 kilogram beban peralatan kamera dan komputer riba di belakang saya semata-mata untuk memuaskan hasil kerja Roslan Madun.

Bersama Saudara Jef yang mencari nafkah dengan menggesek biola di dalam Balai Indera Perkasa.

Kami pergi dengan harapan, kami pulang membawa kenangan. Rombongan kami hanya sedikit, tetapi apa yang kami perolehi begitu banyak untuk dikongsikan bersama para pencinta seni budaya Melayu.

Ketika di pelabuhan Stulang Laut, Johor Bahru sebelum berlepas ke Tanjung Pinang.

Kembara Syair Roslan Madun bukanlah cita-cita tinggi seorang aktivis seni. Sebenarnya ia adalah satu usaha seorang individu yang begitu cintakan seni budaya Melayu, dan ingin melihat seni itu berkembang dan dibudayakan, tidak mati begitu sahaja. Anehnya Roslan Madun dilihat berjuang bersendirian – tanpa penaja, tanpa penaung, tanpa dana – tanpa sesiapa yang menggelarkan diri mereka orang yang berautoriti.Segala perbelanjaan kami di sana adalah dari poket Roslan Madun. Setelah mencongak perbelanjaan, kira-kira RM3000 telah dihabiskan di Tanjung Pinang. Roslan Madun At Anggun bukanlah seorang yang kaya dengan wang. Dia hanya mengharapkan duit persembahannya untuk menjayakan penyelidikan ini. Sebuah usaha yang tidak pernah dibuat orang lain, bahkan jabatan kebudayaan negara sendiri juga tidak peduli.

Pernah satu ketika, Roslan Madun dijemput sahabat beliau untuk menjayakan bengkel syair dan kemudian menjadi juri sebuah pertandingan. Pihak penganjur agak berat kerana risau tentang bayaran tinggi yang akan dikenakan. Tetapi dengan bayaran cuma RM100, Roslan Madun tetap hadir. Semasa penyampaian hadiah, Roslan Madun mendapati hadiah yang diberikan kepada pelajar yang menang hanya sekadar hamper. Lalu Roslan Madun mengeluarkan RM300 dari poketnya dan meminta agar mereka membahagikan seadilnya kepada pelajar-pelajar tadi.

Begitulah besarnya jiwa Roslan Madun. Dia sanggup berhabisan wang ringgit supaya orang lain berasa dihargai. Malangnya diri beliau masih tidak dihargai di negeri dan negara sendiri. Susah benar bagi beliau mendapatkan dana atau geran dari jabatan dan kementerian berkaitan untuk melaksanakan penyelidikannya. Sedangkan dia pergi dengan hanya beberapa orang yang setiap seorangnya memainkan peranan, bukan dalam bilangan yang ramai yang sekadar menempel dan bermacam ragam.

Roslan Madun juga tidak pernah pulang tangan kosong. Setiap kali dia berpergian, setiap kali itulah hatinya akan puas kerana hasil penyelidikannya begitu lumayan. Ahli politik pula hanya sekadar manis mulut ketika berucap di dalam majlis-majlis. Selepas tamat majlis, mereka seolah-olah terhantuk kepala dan hilang ingatan akan apa yang telah dijanjikan.

Kelemahan Roslan Madun ialah dia menyimpan segala-galanya di dalam kepala. Ada yang dia cuba dokumentasikan di dalam komputer, saya pernah melihatnya, namun sebahagian-sebahagian sahaja. Tanyalah apa jenis syair, dendangkanlah di hadapan Roslan Madun, dia pasti tahu.

Pernah juga ada pihak cuba menganjurkan pertandingan syair di peringkat kebangsaan, dan menjadikan cakera padat KOMSAS Puisi Tradisional dendangan Roslan Madun sebagai panduan. Tetapi penganjurnya memilih untuk membuang irama Syair Selendang Delima dan memasukkan irama Syair Siti Zubaidah tanpa merujuk empunya badan. Apabila sudah ke peringkat akhir pelaksanaan, baharu mereka menjemput Roslan Madun untuk mendapatkan pandangan beliau.

Lucunya, di situ juga Roslan Madun menempelak mereka kerana tidak pernah ada irama Syair Siti Zubaidah yang dimaksudkan. Yang ada hanyalah teks Syair Siti Zubaidah, manakala irama yang digunakan untuk syair tersebut masih tidak bernama dan ia adalah irama ciptaan spontan Roslan Madun sendiri!

Begitulah. Alangkah ruginya dunia sastera budaya kita. Ilmu kepenyairan Roslan Madun sudah melangkaui taraf PhD, tetapi entah adakah universiti yang boleh menganugerahkan Doktor Kehormat buat beliau atas usaha dan ilmu yang beliau ada. Jangan tunggu sampai universiti luar negara pula yang mengangkat Roslan Madun kelak, kerana dilihat mereka lebih mengenal permata ini berbanding institusi akademik negara sendiri.

Melihat wajahnya yang semakin dimamah usia, tidak pasti berapa banyak lagi kudrat yang ada di dalam diri Roslan Madun, dan berapa jauh lagi dia boleh gagah mengembara. Saya gusar dan khuatir kita akan terlambat dalam menghargai insan yang telah banyak berkorban demi kesinambungan seni syair Melayu ini.

Roslan Madun tidak lokek dalam menyebarkan ilmunya.

Hanya satu persoalan yang saya tak dapat luputkan dari minda saya sejak beberapa hari lalu: Sampai bilakah Roslan Madun akan begini?