Muzikal Si Tanggang Mengagumkan

Sebaik mendapat tahu ada pementasan teater muzikal di JKKN Negeri Sembilan, aku mula mencongak jarak. Kebetulan ada jemputan sebagai tenaga pengajar ‘Drama for Workplace‘ untuk peserta ILTIZAM by EKUINAS pada 7 dan 8 September 2023 di Damansara Utama.

Poster by fotolawa.com

Siri bengkel drama untuk EKUINAS ni sebenarnya dah mula sejak April lagi. 8 September 2023 tu kira macam persembahan hasil latihan mereka. Ada sembilan kumpulan semua sekali. Semua dapat buat persembahan dengan baik.

Bersama pengurusan Efficient Frontier Consulting, EKUINAS dan para peserta ILTIZAM.

Usai penutupan, aku terus gerak masuk kota raya Kuala Lumpur. Roslan Madun, bos aku cadang suruh aku tidur sekitar Bangi sebab dia nak jumpa keesokannya. Lagipun Bangi dah dekat dengan Seremban. Jadi malam tu aku tidurlah di Bangi. Tu pun bos aku taja duit penginapan. (Terima kasih bos, I love you lah!). Selepas jumpa bos pagi Sabtu tu, aku terus gerak ke Seremban dan cari hotel bajet sekitar JKKN.

Pelayaran Muzikal Si Tanggang ni masuk percuma. Aku dah agak pasti ramai penonton akan hadir. Tapi aku tak jangka pula boleh buat tempahan melalui produksi mereka. Jadi ketika aku dan isteri (of course la turun KL dengan orang rumah) beratur di luar tu, cuma boleh berharap ada tempat duduk yang sesuai dan strategik untuk aku ambil gambar. Kalau tak, aku simpan je kamera aku nanti.

Bila aku masuk auditorium, memang dah hampir penuh dengan penonton. Tempat duduk berhadapan pentas pula khas untuk VIP dan mereka yang dah buat tempahan. Aku pula bukan dijemput atau diupah untuk ambil foto tapi datang sebab nak sokong Saiful Wazien, pelakon utama yang juga merupakan kenalan di FB.

Makanya, apabila petugas produksi minta aku duduk di bahagian tepi pentas, aku terus cakap, “Saya ni datang nak ambil gambar tau. Kalau boleh bagi saya tempat duduk bahagian depan ni. Kalau tepi nanti gambar tak cantik. Haaaa… tak cantik nanti saya tak tau!”

“Oh, nak ambil gambar ya. Alaaa… macam mana ni?” Dia tanya kawan dia.
“Saya datang ni pun sebab Wazien.”
“Oooo… Wazien ke?”

Umpan aku mengena. Hahahahaha…

“Saya duduk tepi sikit sebelah sana pun tak apa. Okay dah tu,” sambil aku menuding jari ke sebaris tempat duduk tepi di bahagian hadapan yang masih kosong. Memang sesuai pun untuk ambil foto. Sudut yang aku paling suka setiap kali ambil gambar persembahan pentas.

“Okay, boleh kalau macam tu. Encik duduk situ ya.”

Akhirnya dapat la juga tempat duduk yang boleh aku ambil foto dari sudut yang baik dan jelas. Tapi terpaksa tipu sunat dengan petugas tu tadi, jadi maaf la ya. Hehehehe…

Memang berbaloi turun ke Seremban untuk menonton pementasan Pelayaran Muzikal Si Tanggang ni. Sinografinya ringkas tetapi ruang pentas digunakan sepenuhnya dalam lakonan. Para pemain watak juga berjaya menimbulkan emosi yang sentiasa ada turun naik — gembira, kecewa, sedih, marah — bercampur-baur sepanjang menonton.

Babak ibu merindui Si Tanggang sehingga berhalusinasi memang menyayat hati.

Dalam dua jam pementasan, aku perhatikan mereka ada babak pergerakan pantas terutama ketika menari. Aku ambil peluang tersebut untuk bermain slow shutter. Hasilnya memang memuaskan hati kerana ada beberapa shot yang fokus terus ke subjek utama.

ISO 4000 | f 7.1 | ss 1/15 | Nikon D780 | 82mm
ISO 4000 | f 7.1 | ss 1/15 | Nikon D780

Aku juga suka tengok pencahayaan sepanjang teater ini berlangsung. Ada beberapa babak yang cahayanya jatuh tepat ke atas pelakon utama. Aku kena pantas buat keputusan nak guna setting kamera mana untuk babak mana. Memang mata tak lekang dari viewfinder, oi!

ISO 2500 | f 4 | ss 1/250 | Nikon D780

Akhir sekali, aku paling suka bila ada ‘crowd’ atas pentas. Jenis aku memang ambil penuh dalam satu frame gambar, jarang aku biarkan ruang kosong dalam shot.

ISO 6400 | f 3.5 | ss 1/160 | 70mm | Nikon D780
ISO 6400 | f 3.5 | ss 1/160 | 82mm | Nikon D780

Kecuali jika pencahayaan tu menarik dan ada impak ke atas watak. Baru aku buka luas.

ISO 6400 | f 3.5 | ss 1/160 | 70mm | Nikon D780

Secara keseluruhannya, aku puas hati menonton pementasan Pelayaran Muzikal Si Tanggang ini walau aku terpaksa keluar duit sendiri untuk minyak dan penginapan. Aku pun dapat gambar-gambar yang aku nak. Yang penting dapat asah lagi kemahiran dan teknik fotografi aku untuk pementasan teater sebegini.

Untuk tengok kesemua gambar pementasan ini, boleh klik sini.

Tunggu aku update trip aku ke Singapura bersama bos aku, Roslan Madun minggu hadapan pula.