Cabaran fotografi di dewan hotel

Kali ini Abam nak kongsi sedikit cabaran buat fotografi dalam dewan hotel.

Abam dapat panggilan daripada bapa pengantin lelaki dua hari sebelum majlis resepsi berlangsung. Kebetulan Abam memang nak turun ke KL untuk cover bos Abam, Roslan Madun, penyanyi lagu ‘Lemak Manis’ yang buat persembahan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Malam Gala Anugerah Telenovela ke-9 hari sebelumnya.

Malam tu dapat la tidur di Hotel Seri Pacific dengan ditaja sepenuhnya bos Abam ni. Mentang-mentang la dapat ganjaran besau!

Esoknya selepas daftar keluar, Abam terus ke Grand Barakah Hotel di Ampang untuk jalankan kerja fotografi majlis resepsi Aidil dan Zakiah. Majlis dijadualkan mula pukul 12:00 tengah hari, tapi pukul 10:00 pagi Abam dah sampai. Abam memang sengaja datang awal untuk lihat tempat terlebih dahulu.

Nikon D780 | 24-70mm | f2.8 | ISO 2000 | SS 160 | WB 2500K

Untuk kerja kali ini, Abam bawa dua badan kamera kesayangan Abam si D780 dan Z6ii keturunan Nikon. Abam cuma guna satu speedlite yang dipasangkan ke body D780, yang menggunakan lens 24-70mm. Lens ni Abam gunakan untuk bahagian pelamin sebab biasanya akan ada foto berkumpulan di situ.

Nikon D780 | 24-70mm | f5.6 | ISO 2500 | SS 125 | WB 2500K

Manakala Z6ii pula hanya menggunakan 35mm. Yang ni Abam guna untuk bahagian dalam dan luar dewan, yang mana Abam banyak ambil secara spontan dan santai, dan jika ada group photo pun tak melibatkan kumpulan besar.

Cabaran utama Abam apabila shoot dalam dewan hotel ialah lampu dewan. Pada pentas, ada spotlight dan lampu LED berwarna-warni. Manakala lampu dewan bahagian tetamu agak suram. Di luar dewan pula ada bahagian berlampu, ada bahagian kurang cahaya, ada bahagian yang terang sebab cahaya matahari.

Di sini Abam guna kelebihan kamera yang boleh buat tetapan ‘User Setting’ 1 dan 2 (kalau Z6ii boleh sampai 3 tetapan). Untuk D780, Abam kunci tetapan 1 untuk pelamin, dan tetapan 2 untuk dewan bahagian tetamu. Manakala untuk Z6ii, Abam kunci tetapan 1 untuk pelamin, tetapan 2 untuk dewan bahagian tetamu, dan tetapan 3 untuk luar dewan.

Tetapan ni memudahkan kerja Abam untuk tukar setting dengan pantas mengikut keadaan dan keperluan. Cuma tinggal Abam nak kena ingat je lagi tetapan mana untuk bahagian mana. Ada sekali tu terlupa la juga tukar setting sampai over expose gambor. Hahahahaha…

Butang dail pada D780 dan Z6ii

Selain dari butang dail ni, Abam juga kena buat penyelarasan pada white balance (WB) setiap tetapan tadi. Mula-mula Abam fikir nak guna pilihan preset WB yang ada. Tapi hasil warna gambar masih lari dan tak sesuai. Lalu Abam beralih ke penggunaan suhu Kelvin. Oleh kerana lampu kuning banyak dalam dewan, Abam tetapkan pada kadar 2200K ke 2600K untuk potong warna kuning tadi.

Gambarajah jadual Kelvin

Setelah selesai buat tetapan tadi, Abam bincang dengan bapa pengantin untuk minta daftar masuk hotel dulu (Abam bayar sendiri tapi bapa pengantin dah tempah awal). Pukul 11:30 pagi Abam turun semula ke dewan. Tetamu ada yang dah mula datang dan makan.

Ramai artis hadir ke majlis ni termasuk Dato’ A. Tamimi Siregar dan bos Abam, Roslan Madun. Bapa pengantin ialah pengerusi PEMEKAR, sebuah persatuan artis yang besar di KL.
Keluarga pengantin lelaki.

Sebenarnya semasa baru nak mula kerja, tetiba datang seorang lagi jurufoto yang diupah oleh pengantin perempuan. Dia cuma bawa satu kamera. Dia kata kat Abam dia risau latar LED di pentas utama, tapi itu bukan kerisauan utama Abam. Mujurlah dia tak kacau Abam selaku in-house photographer. Abam pun bagi ruang kepada dia untuk dia ambil gambar dan selesaikan kerja dia. Hujung-hujung majlis tu Abam cakap kepada pengantin supaya buat sesi bebas dengan jurufoto dia sahaja. Kalau Abam buat, OP dia buat, pengsan pengantin nanti! Mujur pengantin setuju. Abam juga guna kesempatan ini untuk makan semeja dengan bos Abam yang datang lewat petang tu. Perut Abam pun dah lapar masa tu wehhhh! Hihihihihihi…

Abam terus buat kerja Abam sampai jam 4:30 petang. Hampir 800 keping gambar dari kedua-dua kamera dirakam pada hari tersebut. Setelah ditapis dan edit, Abam dah hantar 763 keping kepada klien.

Kepada anda yang nak khidmat fotografi daripada Fotolawa, boleh hubungi Abam di whatsapp atau di Facebook. Fotolawa sedia berkhidmat di mana sahaja, asalkan berbayar! Hahahahahaha…

Tak perlu risau kualiti gambar kami — dijamin cantik dan terbaik.

Tenang jiwa, Fotolawa ada.