2020-2 Teater Sel Akhir 2

Pada 29 Februari 2020 yang lalu, penulis sempat menonton pementasan teater ‘Sel Akhir 2’ bertempat di Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI) di Ampang. Naskhah tulisan Najwa Ahmad ini pernah dipentaskan tahun lepas di tempat yang sama. Tidak hairanlah pementasan kali ini lebih mantap dan berkesan, hasil dari penambahbaikan ke atas skrip asal.

Ini kali kedua penulis sampai ke STEFANI. Kali pertama ialah ketika menonton teater ‘Nyanyian Angsa’ pada 3 Disember 2017.

Apa yang penulis kagum tentang STEFANI ialah ruang pentasnya yang kecil dan terhad kerana ia asalnya sebuah rumah kedai. Namun sanggar ini mampu mengangkat karya-karya besar untuk dinikmati umum. Hasilnya, ‘Sel Akhir 2’ turut berjaya dipentaskan di sini sehingga mencapai ‘full house’ setiap kali ia berlangsung.

‘Sel Akhir 2’ mengisahkan tentang tiga banduan yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Tidak seperti kita yang tidak tahu bila ajal akan menjemput, namun mereka sudah tahu bila hari terakhir mereka akan tiba. Persoalan pertama imbul. Adakah ia satu keberuntungan apabila mengetahui hari kematian, atau bencana buat mereka, banduan akhir?

Ketiga-tiga banduan ini tidak mengenali satu sama lain. Setiap mereka mempunyai denai hidup tersendiri yang dikongsikan sesama mereka pada malam itu.

Hafiz (lakonan Qadry Basri) merupakan seorang gelandangan yang dijaga oleh kakaknya, seorang pelacur.

Qadry Basri membawa watak Hafiz, seorang gelandangan yang dijaga oleh kakaknya. Namun suatu hari, Hafiz mendapat tahu bahawa kakaknya adalah seorang pelacur. Oleh kerana berasa jijik dan ditipu, Hafiz telah menikam kakaknya sehingga mati. Kerana itu dia dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah.

Wan Raja sebagai Alias

Wan Raja pula memegang watak Alias. Dia cuba merompak sebuah kedai emas. Dia mengambil dalam kuantiti yang sedikit dan secukupnya sahaja. Namun tiba-tiba datang seorang pengawal keselamatan dan dalam pergelutan, tanpa disedari Alias telah menikam pengawal keselamatan tersebut. Pengawal itu mati di tempat kejadian. Alias yang menyesali perbuatannya, mendedahkan bahawa dia terpaksa merompak kedai emas kerana ingin mendapatkan wang bagi menyelamatkan ibunya yang terpaksa menjalani pembedahan.

Azlan Komeng sebagai Osman

Osman (lakonan Azlan Komeng) merupakan seorang lulusan universiti yang bekerja sambilan sebagai peniaga burger. Dia merupakan seorang yang baik hati terhadap pelanggan dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.

Suatu hari, seorang pelanggan telah menumpangkan sebuah beg di gerai burgernya. Tanpa sebarang curiga, dia telah menyimpankan beg tersebut sementara menunggu pelanggan itu tadi kembali. Namun tak berapa lama kemudian, datang beberapa orang polis yang menyelongkar beg tersebut dan mendapati ia dipenuhi dadah.

Walaupun menafikan, Osman akhirnya dijatuhi hukuman gantung mandatori atas tuduhan mengedar dadah, walaupun sebenarnya dia tidak bersalah.

Ibu Fauziah Nawi tampil membawakan watak Ibu.

Kemunculan khas Ibu Fauziah Nawi di babak akhir sebagai ibu berjaya meruntun hati setiap penonton. Deraian air mata para pelakon turut dirasai dan membuatkan penonton menangis bersama mereka hingga ke penghujung.

Yang pasti, naskhah ‘Sel Akhir 2’ menimbulkan beberapa persoalan tentang undang-undang ciptaan manusia yang berasaskan pembuktian, namun menolak unsur manusiawi sebagai salah satu aspek penilaian ketika menjatuhkan hukuman.

Persoalan paling utama, adakah mengambil nyawa seseorang boleh dibenarkan atas nama keadilan?

Namun, kita sebagai manusia tidak dapat mentafsir hikmah di sebalik setiap yang berlaku. Hanya pasrah dan reda menjadi pegangan, agar seseorang itu tidak lari dari Tuhan.

Khusiary Effendy atau Boss Fendy selaku pengarah lakonan memberikan penjelasan tentang teater ‘Sel Akhir 2’ arahannya.

Syabas buat produksi ‘Sel Akhir 2’ di atas persembahan yang begitu menyedarkan. Semoga lebih banyak karya yang bagus dan bermutu dihasilkan di masa akan datang.

Penonton dari Politeknik Muadzam Shah bergambar kenangan bersama barisan pelakon.

Untuk lebih banyak foto menarik sepanjang pementasan, sila layari album di bawah. (Hakcipta terpelihara fotolawa.com)

2020-2-29 Teater 'Sel Akhir 2'