Berpeluang menonton pementasan teater tradisional Makyung Raja Gondang di ASWARA pada 25 Ogos 2019 lalu. Kisahnya begitu menarik walaupun agak panjang. Lakonan mantap dan mencuit hati tidak menghalang penonton untuk kekal di kerusi masing-masing selama hampir dua jam pementasan berlangsung.
Sebenarnya untuk menghabiskan kisah asal Raja Gondang ini memakan masa sehingga berhari-hari. Kerana itu pementasan ini dipendekkan tetapi padat untuk tempoh dua jam.
Makyung Raja Gondang ini merupakan karya olahan dan arahan Chekem dan diterbitkan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Aswara. Ia telah dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada 23 hingga 25 Ogos 2019.
Ceritanya mengisahkan tentang dendam seorang anak raja iaitu Raja Gondang terhadap ayahnya Raja Besar. Disebabkan permaisuri Raja Besar iaitu ibu Raja Gondang (Tuan Puteri Gak Jetera) melahirkan anak sebiji Gondang, maka Tuan Puteri Gak Jetera telah dipukul palu dan dihalau dari istana.
Apabila cukup masa Gondang menetas, maka keluarlah anak yang diberi nama Raja Gondang. Raja Gondang telah mengetahui hal yang sebenar mengenai nasib yang menimpa dirinya dan ibunya Tuan Puteri Gerak Petera sehingga dihalau keluar dari istana.
Raja Gondang ingin membalas dendam dan mencari jalan untuk berjumpa dengan Raja Besar di Istana. Raja Gondang sengaja membuat aniaya dengan menyeksa pekerja Istana Raja Besar iaitu Wak Juara Pemikat supaya dia ditangkap dan dapat bertemu Raja Besar.
Persembahan ini dijayakan oleh alumni, kakitangan dan pelajar Aswara sendiri. Antaranya Juhara Ayob, Zamzuriah Zahari, Iefiz Alaudin, Along Eyzendy dan lain-lain.
——–
Hakcipta terpelihara @ fotolawa.com
Semua foto adalah dibenarkan untuk dimuat turun dan dimuat naik semula ke media sosial dengan memberikan kredit kepada fotolawa.com atau jurugambar Noor Kasmara Sokarnor.
Sebarang kegunaan untuk penerbitan di media cetak, buku, majalah atau akhbar adalah tidak dibenarkan tanpa keizinan fotolawa.com.
Sila hubungi 013-976 0187 untuk gambar resolusi tinggi dan perbincangan lanjut.
Banyak lagi gambar menarik di sini.